MOHAMAD ZULHARISHAM BIN ROSLI KOLEJ VOKASIONAL GERIK
Projek inovasi ini bertujuan menghasilkan sebuah troli pengendalian paip keluli berkarbon boleh laras yang direka khusus untuk memudahkan pelajar bengkel teknologi kimpalan mengendalikan bahan berat dan panjang. Masalah utama yang dikenalpasti adalah kesukaran pelajar dalam memindahkan paip keluli sepanjang 6 meter dan seberat sehingga 200kg dari stor bahan ke mesin pemotong secara manual, yang memerlukan tenaga kerja seramai 6–10 orang dan meningkatkan risiko kecederaan. Troli ini direka dalam dua bahagian iaitu hadapan dan belakang, dilengkapi dengan pemegang boleh cabut, sistem jek boleh laras ketinggian, dan roda castor 360° yang memastikan kestabilan serta memudahkan pergerakan. Pembinaan troli ini menggunakan bahan seperti hollow square, plate mild steel, dan jek hidraulik, dengan jumlah kos RM501.89. Ujian keberkesanan melibatkan pengujian fungsi, ujian penusukan cecair (NDT), serta soal selidik kepada 30 pelajar. Keputusan menunjukkan 96.7% pelajar menyatakan troli ini berjaya mengurangkan beban fizikal, menjimatkan masa, serta meningkatkan tahap keselamatan semasa kerja. Inovasi ini memberi penyelesaian praktikal dan kos rendah untuk kegunaan bengkel TVET, dan berpotensi dikembangkan untuk kegunaan industri sebenar pada masa akan datang.