ANNUR IRDINA BINTI MOHD. NAZRI SM AGAMA SHAMSUDDINIAH
Tetingkap Magika merupakan satu inovasi berimpak tinggi yang dicetuskan untuk memberi kelainan dalam kaedah membaca dan menyalin dengan lebih fokus dan terpandu dalam menambah baik amalan proses pembelajaran murid-murid dan guru-guru. Inovasi ini dibina menggunakan bahan buangan terbuang seperti kotak kitar semula pada peringkat prototaip dan direka bentuk mengikut pelbagai saiz bahan bacaan yang menjadi alat bantu yang memfokuskan koordinasi mata ke atas teks yang dibaca. Inisiatif ini selari dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) 12 iaitu penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab dengan memanfaatkan semula bahan buangan ke arah mengtransformasikan pendidikan yang lebih lestari. Inovasi ini bukan sahaja membantu meningkatkan fokus dan kecekapan murid, malah turut menjadikannya satu inovasi yang berintegrasi dengan pendidikan sains alam sekitar dan kesedaran ekologi. Murid-murid mahupun guru-guru dapat mengelak gangguan visual yang wujud daripada persekitaran sekeliling, sekaligus meningkatkan keupayaan mereka untuk menumpukan perhatian semasa membaca dan menyalin.Reka bentuknya yang fleksibel, mesra pengguna dan mampu milik menjadikan Tetingkap Magika ini mudah disesuaikan mengikut keperluan individu, sesuai untuk pelbagai tahap kebolehan membaca.Selain itu, penggunaannya turut membantu memperbaiki pengurusan bilik darjah dan mengurangkan gangguan daripada persekitaran dan gajet. Dengan reka bentuk yang mudah dan kos rendah, inovasi ini telah dihasilkan secara besar-besaran dan diedarkan ke sekolah-sekolah di kawasan yang kurang berkemampuan dan memberi peluang pembelajaran yang lebih baik kepada semua murid tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka. Dengan memperkasakan budaya kitar semula dan pendekatan pendidikan holistik, inovasi ini menyokong evolusi pendidikan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang, seiring dengan aspirasi untuk mengubah dunia kita melalui pembangunan yang mampan dan inklusif.