Dennalia Khalysha Anak Dana SK Sungai Sian
Projek ini bertujuan untuk mereka bentuk dan membina satu alat pintar yang dinamakan Sian Waste Splitter (SWS) bagi memudahkan proses pengasingan sisa basah dan sisa kering secara automatik. Masalah pengasingan sampah secara manual sering menyebabkan pencemaran bau, pembiakan lalat, dan kesukaran dalam proses kitar semula. Inovasi ini diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran
amalan kitar semula dan memupuk tanggungjawab menjaga kebersihan dalam kalangan murid dan warga sekolah. Prototaip SWS ini dibina menggunakan sensor untuk mengesan kandungan lembapan pada sisa. Sisa yang basah akan dihantar ke bekas khas sisa basah, manakala sisa kering akan dihantar ke bekas sisa kering. Projek ini turut melibatkan penggunaan mikropengawal seperti Arduino UNO serta
motor servo untuk mengawal arah pergerakan pintu pengasingan. Reka bentuk kajian dijalankan melalui dua eksperimen dan satu tinjauan. Eksperimen pertama adalah menguji ketepatan pengasingan sisa kering dan basah dengan sisa yang telah ditetapkan. Manakala eksperimen kedua adalah menguji ketepatan pengasingan sisa sampah yang dikumpul oleh murid secara rawak. Hasil kajian menunjukkan pada eksperimen pertama peratusan ketepatan pengasingan sisa kering adalah 91.67% manakala sisa basah adalah 83.3%. Melalui eksperimen kedua, hasil kajian menunjukkan kebolehfungsian SWS adalah baik namun didapati sisa seperti tulang ayam atau tisu sukar dikesan melalui SWS. Manakala hasil tinjauan, warga sekolah juga menunjukkan minat serta pemahaman yang lebih baik terhadap konsep kitar semula. Kesimpulannya, inovasi SWS berpotensi digunakan sebagai alat bantu pendidikan dan dapat diaplikasikan dalam persekitaran sekolah atau komuniti untuk menggalakkan pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan mesra alam.