MUHAMMAD FARIS NAUFAL BIN MOHD FITRI SK KAMPONG SELAMAT
Revolusi Industri 4.0 telah mengubah landskap pendidikan dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik. Topik mikroorganisma dalam mata pelajaran sains tahun enam dianggap mencabar kerana konsep yang diperkenalkan berbentuk abstrak dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, dengan penggunaan alat pengajaran digital, topik ini boleh diajar dengan cara yang lebih menarik. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk menilai keberkesanan pengintegrasian aplikasi permainan interaktif Microorganisms World dalam meningkatkan kefahaman murid tahun enam dalam topik mikroorganisma. Metodologi kajian adalah secara kuantitatif melalui reka bentuk ujian-pra dan ujian-pasca satu kumpulan (one-group pretest-posttest design). Kajian ini melibatkan sekumpulan murid tahun enam dari sebuah sekolah kebangsaan yang diberikan intervensi permainan interaktif Microorganisms World yang telah direka khas untuk topik mikroorganisma dalam mata pelajaran sains tahun enam. Data dikumpulkan melalui ujian pra iaitu sebelum intervensi dilakukan dan ujian pasca selepas intervensi dilakukan bagi mengukur kefahaman murid terhadap topik ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi permainan interaktif Microorganisms World memberikan kesan yang signifikan dalam meningkatkan kefahaman murid dalam topik mikroorganisma. Analisis data menunjukkan bahawa purata skor ujian pasca meningkat sebanyak 20 peratus berbanding purata skor ujian pra. Ini membuktikan bahawa permainan interaktif Microorganisms World berkesan dalam meningkatkan kefahaman murid dalam topik mikroorganisma. Kajian ini mencadangkan agar teknologi digital terus diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran sains untuk membantu murid memahami konsep yang abstrak dan kompleks dengan lebih berkesan.
Kata kunci : Mikroorganisma, Permainan interaktif, Microorganisms world.